Thursday, January 20, 2011

Ujian Untuk Pahala..

Bikisan dari http://blog.nuaeman.com/

Membaca kisah-kisah ibu bapa yang kehilangan anak kecil  mengundang sebak di jiwa lelaki seperti aku. Mungkin kerana hadirnya naluri seorang bapa telah membuat hati ini mudah tersentuh bilamana berbicara soal anak-anak.

Entah bagaimana hendak digambarkan betapa luluhnya hati mereka melihat sekujur tubuh kecil dilitupi kain putih sedangkan aku sendiri suami isteri sukar untuk menelan takdir gugurnya kehamilan pertama walhal itu cuma seketul daging yang belum terbentuk serta berisi tulang apatah lagi jika telah keluar menjadi jasad bernyawa. Boleh dikatakan kehilangan anak kecil ini adalah antara dugaan Allah paling besar. Lihat sahaja ujian Allah keatas Nabi Ibrahim tatkala diperintahkan supaya anak lelaki baginda, Nabi Ismail dikorbankan. Perlu memilih antara kasih kepada anak atau ketaatan kepada perintah Allah. Dari kerana itu untuk mencapai tahap sebenar-benar redho terhadap pemergian anak kecil sememang sesuatu yang sukar jika diri tak dibatasi dengan iman dan takwa.

Rasulullah saw sendiri pernah mengalami situasi ini. Alangkah gembiranya baginda apabila dikurniakan anak lelaki yang dinamakan Ibrahim setelah cukup lama merindukan kehadiran cahaya mata. Tetapi janji tuhan tak mampu dielak, Ibrahim yang mempunyai wajah yang mirip kepada baginda rasul saw dijemput pergi ketika dalam penyusuan.

Apakah tuhan terlalu kejam apabila penantian selama 9 bulan 10 hari diakhiri dengan sebuah kematian? Moga kita dijauhkan dari berfikiran begitu. Ingat lagi sewaktu kejadian tsunami yang melanda pada Disember 2004, ada ibu bapa yang memarahi takdir tuhan kerana telah mengambil nyawa anak kecil mereka yang tak berdosa. Ya, mereka tidak berdosa dan telah dijanjikan syurga Allah di akhirat nanti  sebagaimana disebut dalam kitab Ad-Durr Al-Manthur “sesungguhnya orang yang beriman dan anak-anaknya akan berada di dalam syurga bersama-sama”(Petikan dari zaharudin.net). Oleh kerana itu, untuk kembali bersama-sama mereka di syurga ibu bapa harus redho dengan janji tuhan serta istiqamah dalam melakukan amal soleh.
Untuk Ibubapa yang pernah kehilangan anak kecil  didoakan moga redha Allah bersama kamu sebagaimana redhanya kamu atas kematian yang benar-benar menjerut perasaan. Amin…

No comments:

Post a Comment